Monday, 29 July 2013

Tauladan~Peristiwa Kematian Arwah Syaleza Eksekutif Pentadbiran TV9




Mungkin anda pernah membaca kisah pemergian tragis eksekutif pentadbiran TV9 ini pada ~ 28 Julai 2012 di bulan Ramadan tahun lepas. Semenjak kes ini tersiar saya begitu teruja mengikuti kes melalui forum dan juga blog-blog yang sentiasa mengemas kini status kes arwah yang meninggal dunia bermula dengan spekulasi menggantung diri di kipas siling rumahnya dan akhirnya suaminya didakwa atas tuduhan membunuh.

Malah yang paling menyedihkan arwah pula mempunyai anak kecil yang baru berusia 2 tahun. Terfikir bagaimanakah nasib anak yang kehilangan ibu sekecil itu. 

Ibulah tempat bermanja, ibu juga tempat mengadu kesedihan, kesakitan dan ibu jugalah tempat mencari ketenangan. Andai kata masih menyusu badan, pemergian ibu secara tragis ini amatlah menyanyat hati.

Walau bagaumanapun keputusan untuk kes ini setahu saya masih belum di buat. Mungkin suami arwah masih lagi dalam proses perbicaraan.

~Al-Fatihah~

Apa yang membuat saya berminat untuk mengikuti kes ini kerana kematian arwah berhubung kait rapat dengan isu pergaduhan antara suami dan isteri. Apa punca berlakunya pergaduhan suami isteri di bulan Ramadan yang mulia ini?

Mungkinkah masalah atau isu di bawah menyebabkan suami isteri bergaduh hingga membawa kematian/penceraian.


a. Isu balik Raya ke kampung 

Secara amnya bila kita lihat isu yang sering menyebabkan pergaduhan suami isteri di bulan Ramadan antaranya adalah berkaitan dengan kes 'balik kampung siapa dahulu' atau ' Beraya di kampung suami atau isteri'.

Punca pergaduhan mengenai balik kampung ini, memang nampak remeh dan ada yang dijadikan drama lawak kepada penonton di luar sana. Tapi bagi mereka yang mengalami masalah ini, bukanlah satu yang kelakar untuk diperkatakan, kerana realiti ianya berlaku hampir dalam setiap keluarga dalam masyarakat kita.

Pergaduhan boleh terjadi apabila kata putus tidak dapat dibuat antara suami isteri untuk beraya di kampung siapa dahulu. Masing-masing ingin memenuhi keinginan diri atas pelbagai alasan. Apabila sebelah pihak tidak bersetuju, maka berlakulah pergaduhan dan perang dingin yang menyebabkan amarah yang terpendam di dalam dada.

Cara mengatasi masalah ini suami isteri sepatutnya

1. Berbincang dari hati ke hati keputusan yang perlu di buat.
 ~ Bagi pasangan baru berkahwin, dahulukan beraya di kampung sebelah suami, menandakan isteri menghormati suami sebagai ketua keluarga.

2. Tetapkan sistem giliran
~ Jika tahun pertama berhari Raya pertama di kampung suami, maka tahun ke dua sambuatlah Raya di kampung isteri pula menandakan suami menghargai ibu bapa/ahli keluarga sebelah isteri yang sekali sekala inginkan isteri bersama mereka di hari Raya pertama.

3. Bertoleransi pada keadaan Kecemasan
~ Mungkin berlaku perubahan pada sistem giliran yang telah ditetapkan, kerana berlakunya keadaan kecemasan seperti kemalangan/kematian ahli keluarga sebelah pasangan.
~ Sebagai pasangan perlu menerima keputusan tidak dapat beraya di hari Raya pertama bersama keluarga sendiri, dan di gantikan pada tahun hadapan, tanda empati kepada pasangan yang sedang bersedih.

4. Tanpa sistem giliran tapi ada Perjanjian waktu/jarak perjalanan
~ Mungkin pasangan boleh menerima  tidak beraya di kampungnya terlebih dahulu, tetapi memberi waktu beraya yang lebih padanya.
Contoh Raya pertama di kampung suami 2 hari, kemudian beraya di kampung isteri 4 hari.


b. Isu Urusan Balik Kampung

Bila peranan dan tanggungjawab suami bertukar kepada isteri, dan tanggungjawab isteri bertukar kepada suami. Perasaan tidak puas hati akan terpendam di dalam jiwa.

Mungkin anda pernah terdengar ada isteri yang mengeluh, semua urusan untuk balik ke kampung perlu dibuat sendiri. Dari mengemas pakaian anak-anak, mengemas rumah hingga memandu pulang ke kampung. Suami yang ada hanya berlepas tangan membiarkan isteri terkapai-kapai keletihan menguruskan semua.

Ada juga isteri yang berlepas tangan bila suami menguruskan segalanya, hingga pakaian dalam pun pasangan yang perlu kira berapa banyak nak bawa. Susu anak tak dipastikan sudah disediakan atau belum.

Cara mengatasi masalah ini suami isteri sepatutnya

1. Suami jalankan tanggungjawab anda yang utama pada keluarga terutama urusan-urusan yang memerlukan banyak tenaga.
~ Memandu kenderaan,mengangkat beg/barang-barang, anak, stroller,isi petrol dan mencuci/membawa anak kecil ke tandas.

2. Isteri mengemas barang keperluan dan pastikan anak/suami dalam perhatian terutama di tempat awam seperti R&R
~ Memastikan kelengkapan seperti baju,kasut, toiletries mencukupi semasa di kampung/bercuti
~Menyediakan susu anak kecil dan perubatan kecemasan dan mencuci/membawa anak kecil ke tandas.

c. Isu Kewangan

Bagi pasangan yang mengalami masalah kewangan, menyambut perayaan yang semakin hampir memang memeningkan kepala. Segala keperluan Hari Raya seperti baju, kasut baru untuk keluarga akan menambah beban kewangan sedia ada.

Namun pilihan agak terhad kerana Hari Raya yang menjelang perlu juga disambut.

Cara mengatasi masalah ini suami isteri sepatutnya

1. Kumpul duit untuk perayaan lebih awal jika tiada bonus daripada majikan.
~ Perlu menghadkan perbelanjaan yang bukan keperluan contoh makan makanan segera, melancong

2. Bayar semua bil-bil utiliti
~ Contoh bil elektrik, air, ansuran kereta, handphone, unifi dan lain-lain

3. Buat belanjawan/budget untuk sambut perayaan
~ Kos servis kereta, petrol, tol, makan, baju dan kasut baru, kuih muih, duit raya, berbelanja ikut kemampuan.

4. Asingkan wang perbelanjaan untuk selepas perayaan
~ Jika tidak diasingkan terlebih dahulu, kemungkinan anda akan berbelanja melepasi budget kemampuan.


d. Isu orang ke-3

Andai anda merupakan keluarga yang berpoligami, suami perlu bijak menetapakan giliran yang terbaik kepada isteri-isteri. Kegagalan menguruskan isteri-isteri dan anak-anak dengan baik akan menyebabkan hari Raya tidak bermakna kepada mereka, malah menjadi satu waktu yang boleh membuatkan mereka lebih kecewa dan bersedih dari hari-hari sebelumnya.

Perasaan tidak puas hati yang tersimpan dalam diri pasangan akan menyebabkan hubungan yang mesra akan menjadi dingin. Pasangan anda mungkin menunjukkan protes dengan berkelakuan luar dari biasa.

Contohnya dari suka bercakap tiba-tiba kurang bercakap, tidak ceria dan bersemangat untuk menyambut hari Raya, tidak mahu bergaul dengan sanak saudara sebelah pasangan, tidak memperdulikan anak-anak atau melepaskan tanggungjawabnya.

Yang paling menyedihkan kemalangan jalan raya mungkin boleh berlaku jika suami/isteri memandu dalam keadaan yang tertekan.

Bila difikirkan, apalah ertinya hari raya yang bermakna jika kita menyambutnya dalam keadaan kecewa.

Cara mengatasi masalah ini,

1. Suami perlu mempunyai kewangan yang kukuh untuk menampung perbelanjaan keluarga yang besar.

2. Suami/isteri perlu mengawal emosi untuk menjadi contoh yang baik kepada anak-anak.

3. Jika tidak mampu dari segi mental dan fizikal elakkan berpoligami atau berlaku curang dengan pasangan.


Bulan Ramadan bulan yang mulia, sebagai umat islam kita sepatutnya mengambil berkat bulan seribu rahmat ini. Kita hanya manusia biasa yang sentiasa diuji, bersabarlah dalam apa jua keadaanpun, melangkah keluar dari permasalahan lebih baik daripada memendam perasaan yang mungkin membawa padah pada perhubungan.

Berfikir rasional dan bertolak ansur sesama pasangan adalah amalan mulia yang dituntut agama. Hari Raya hanya sekali setahun, jangan kerana ini, kasih sayang yang terikat hancur di tengah jalan kehidupan.

No comments:

Post a Comment

SUPPORT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email

Contact Form

Name

Email *

Message *

Penafian (Disclaimer)
suficreative.blogspot.my adalah perkongsian mengenai kekeluargaan, kesihatan, pendapat dan pengalaman penulis sahaja. Sebarang info yang berkaitan dengan isu perubatan dan melibatkan undang-undang adalah dibawah tanggungjawab anda sebagai pengguna. Dapatkan nasihat dari pihak bertauliah sebelum mengamalkan sebarang info terutama kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga dan keselamatan.