Friday, 7 June 2013

Segala Hasrat Tetapi Tidak Dapat adalah Nikmat yang Paling Padat

SEORANG kanak-kanak akan meminta apa saja yang disukai dan ibu yang penyayang pula menuruti saja kemahuan anak. Jiwa anak yang lemah, serba tidak mengetahui baik dan buruk sentiasa menuntut diberi kepuasan demi mententeramkan hawa nafsunya.

Cuba kaitkan kejadian ibu dan anak dengan keadaan diri kita sebagai hamba kepada Allah SWT.

Kadang-kadang kita menghembus nafas panjang sambil mengeluh dan menyeksa diri jika apa kemahuan hati tidak diperoleh. Seperti anak kecil yang merajuk tidak dibelikan gula-gula. Dia tidak tahu makanan itu boleh merosakkan gigi.

Begitu pula halnya dengan hamba Allah SWT. Ilmu yang ada pada akal mereka tidak sampai kepada ketinggian ilmu Allah SWT. Apa yang hawa nafsu mereka kata sedap sebenarnya tidak menurut ilmu Allah SWT.

Orang beriman hendaklah akur dengan kehendak Allah SWT seraya berkata: “Kami mendengar dan kami taat”. Sebuah realisasi rasa keimanan yang menggugurkan segala pilihan manusia.

Mengapa kemahuan kita sering bertentangan dengan kehendak Allah SWT?
Pertama, ia menunjukkan ilmu manusia tidak mungkin menceroboh batas ilmu Allah Taala. Setiap malam kita berdoa meminta hajat yang diidamkan tetapi tidak pernah hajat itu menjadi kenyataan.

Di sebalik pilihan Allah SWT itu, ada hikmah yang tidak mungkin dicapai akal. Mungkin keadaan seperti sekarang ini lebih baik untuk agama dan akhirat kita. Jika semua yang kita mahu dapat dimiliki, boleh jadi kita akan mengalami kelalaian, takbur dan lupa diri sehingga memudaratkan agama kita.

Teori tokoh sains Islam terkenal, Profesor Harun Yahya mengenai sains yang menguatkan akidah menyatakan:
“Tidak ada sekecil apapun peristiwa dalam hidup ini terjadi secara kebetulan. Hidup dan nasib nampak kelihatan tidak teratur, misteri, hebat dan sebaliknya, namun setiap elemennya adalah sistem keteraturan daripada sebuah reka bentuk menyeluruh yang sempurna. Ini adalah fakta penciptaan yang tidak dapat disangkal.”

Semua yang terjadi pada diri kita adalah baik belaka kerana ia pilihan Allah SWT yang lebih mengetahui yang terbaik untuk kita jalani. Siapakah kita yang mahu mempersoalkan kenapa Engkau tidak memakbulkan doaku wahai Tuhan?

Hal inilah yang membuatkan Nabi Ayub hanya memilih pendekatan bertasbih memuji Allah SWT ketika ditimpa musibah sakit tenat dan malu meminta kurniaan kesembuhan kerana Baginda tidak pasti, adakah kesembuhan itu baik untuk agamanya atau sebaliknya.

Al-Quran menceritakan hal ini dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia menyeru Tuhannya:
“(Ya Tuhanku), Sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.” (Surah al-Anbiya, ayat 83)

Sebagai seorang Nabi mengapa Baginda tidak terus meminta: Ya Allah SWT, sembuhkanlah aku? Kerana keyakinannya kepada pilihan Allah SWT, menyebabkan Baginda tidak berani memilih untuk dirinya sendiri.

Sebab kedua kenapa permintaan kita bertentangan dengan kehendak Allah SWT ialah kerana Allah SWT akan memakbulkan segala hajat di akhirat, kerana mungkin dunia tidak sesuai untuk mewujudkan apa yang menjadi keinginan kita.

Allah Taala berjanji dalam al-Quran bagi sesiapa yang memilih akhirat dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripada keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah al-Syu’arak, ayat 20)

Betapa susahnya menaruh sangka baik kepada Allah. Biarlah musibah itu menjadi kafarah atas dosa kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiada seorang muslim menderita keletihan, penyakit, kesusahan hati, hingga duri tajam yang menusuk dan mengganggunya, melainkan semua itu akan menjadi penebus bagi dosa-dosanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun ramai manusia yang beranggapan musibah itu kerana kutukan Allah atau sebab ‘tulah’ kejahatannya kepada orang lain. Bukankah lebih baik kita menerima musibah di dunia daripada menderita seksaan akibat musibah di akhirat?

Sabda Baginda yang bermaksud:
“Sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin, segala sesuatu untuk dirinya adalah baik. Tidak mungkin terjadi sedemikian melainkan ke atas orang mukmin saja. Jika mendapat nikmat dia bersyukur, jika menderita kesusahan dia bersabar.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Nukilan Dr. Juanda Jaya (pendakwah dari Sarawak) - Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

SUPPORT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email

Contact Form

Name

Email *

Message *

Penafian (Disclaimer)
suficreative.blogspot.my adalah perkongsian mengenai kekeluargaan, kesihatan, pendapat dan pengalaman penulis sahaja. Sebarang info yang berkaitan dengan isu perubatan dan melibatkan undang-undang adalah dibawah tanggungjawab anda sebagai pengguna. Dapatkan nasihat dari pihak bertauliah sebelum mengamalkan sebarang info terutama kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga dan keselamatan.