Sunday, 30 June 2013

Saya percaya, Setiap Penyakit ada ubatnya kecuali Mati...


Dah jadi tabiat saya bila sedih, saya akan lawan rasa sedih dengan berfikiran positif, 

Jadi saya kongsi sini artikel yang boleh bantu kita untuk sentiasa positif menghadapi apa saja dugaan hidup.


"PENYAKIT, UBAT DAN PENYEMBUHAN"Print
Kesihatan yang baik adalah anugerah Allah dan salah satu dari nikmat-nikmat Allah yang amat bernilai dalam kehidupan manusia. Sihat membawa maksud sebagai suatu keadaan di mana apa-apa yang ada di dalam badan manusia telah berperanan mengikut fungsinya dengan betul. Sakit pula ialah kedapatan apa-apa yang ada dalam badan manusia tidak berfungsi dengan betul dan melemahkan diri manusia.

Nabi telah bersabda:

"Dua jenis kenikmatan yang kebanyakan manusia dapat ditipu oleh kedua-duanya, iaitu kesihatan dan waktu lapang"
(Riwayat Bukhari )

Penyakit yang menimpa seseorang adalah merupakan salah satu dari ujian-ujian   Allah s.w.t.  Ujian, cubaan dan bala Allah ke atas hambanya  ada mempunyai tujuan dan hikmahnya yang tersendiri:
  1. Membersih dan memilih orang mukmin yang sejati dan membezakan orang munafik.
  2. Mengangkat darjat dan menghapuskan dosa hambanya kerana bersabar menghadapi ujian dan cubaan.
  3. Mengungkap hakikat manusia itu sendiri sehingga jelas memperlihatkan kesabaran dan ketaatannya.
  4. Membentuk peribadi dan tahan uji dengan ujian hidup dan melahirkan manusia berakhlak mulia dan tabah.
  5. Melatih diri agar manusia yang diuji dan dicuba ini bertambah sabar, tabah dan berpendirian teguh menghadapi musibah.

Sabda Rasulullah s.a.w:

 "Tidak ada seorang muslim pun yang ditimpa gangguan seperti tusukan duri atau lebih berat daripadanya melainkan dengan ujian itu dihapuskan Allah perbuatan buruknya serta digugurkan dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daunnya"
(Riwayat Bukhari dan Muslim )

Sabdanya lagi:

 "Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukminin lelaki dan wanita yang mengenai diri, harta dan anaknya ( dengan sabar) sehingga dia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa"
( Riwayat Tarmizi )

Nabi telah bersabda lagi:

Daripada Jabir bin Abdullah dari Nabi s.a.w sabdanya:
"Tiap-tiap penyakit itu(ada) ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit tersebut, maka sembuhlah dengan izin Allah"
(Riwayat Muslim dan Ahmad)

Berdasarkan hadis di atas dapat fahami bahawa:



  • Setiap penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati. Penyakit yang menimpa makhluk Allah adalah disebabkan oleh wabak, bala, ataupun disebabkan oleh  kelemahan dan kelalaian manusia itu sendiri. Makanan dan minuman merupakan  keperluan manusia. Ia perlu mengambil hanya  yang halal, bersih dan suci tetapi tidak secara berlebihan kerana. Sikap berlebih-lebihan akan mendatangkan pelbagai mudharat (penyakit). Allah s.w.t mengigatkan apa yang terdapat dalam al-Quran dalam Surah al-A'raf ayat 31:
"Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan kerana Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan"

  • Mengubat penyakit adalah menjadi kewajiban sebagai usaha dan ikhtiar manusia. Satu penyakit mungkin hanya mempunyai satu ubat tetapi berkemungkinan mempunyai puluhah ubat. Manusia dengan teknologi yang ada telah membuat kajian , penyelidikan serta penemuan. Oleh yang demikian kita selalu mendengar bidang-bidang perubatan seperti perubatan moden, Homeophati, Perubatan cina, Tradisional, Rawatan Islam dan berbagai-bagai lagi. Ada ubat yang memang ubat, ada ubat yang ada kesan sampingan, ada yang tidak ada kesan sampingan, ada makanan tambahan dan berbagai-bagai jenis yang berada dalam pasaran.

Nabi s.a.w bersabda:

"Berubatlah , sesungguhnya Allah Azza Wajalla tidak meletakkan (kepada manusia) sesuatu penyakit melainkan diturunkan  untuknya (penyakit tersebut) penawar kecuali satu penyakit (tiada ubat baginya). Lalu para sahabat bertanya apakah dia? ( penyakit yang tiada ubat itu ya Rasulullah) lalu Rasulullah menjawab, Tua(mati)"

  • Nabi menyatakan: "Jika menepati ubat itu akan penyakit maka ia akan sembuh". Ertinya kita mesti berusaha mencari ubat yang sesuai dengan penyakit kita. Mungkin sesuatu ubat itu tidak sesuai dengan seseorang walaupun ubat itu memang ubat yang khusus untuk penyakit tersebut. Sembuh bagi seseorang tetapi tidak sembuh untuk seseorang yang lain. Dengan makna yang lain ia disebut sebagai "Rasi".

  • Ubat bukan penyembuh. Ia hanyalah sebagai sebab musabbab sahaja. Penyembuh yang hakiki adalah Allah azza wa jalla. Sesiapa yang menganggap atau mengi'tiqadkan bahawa ubat dapat memberikan kesan atau menyembuhkan penyakit, maka orang dianggap syirik kepada Allah s.w.t. Sebab itu hadis riwayat Jabir sebagaimana diatas, Nabi menegaskan dengan perkataan: "Dengan izin Allah".
Wallahua'lam.
Disusun Oleh:
Hj. Khairuddin bin Haiyon
PP Bahagian Dakwah (Unit Penerangan dan Penerbitan)


Sumber: http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1016&Itemid=1

No comments:

Post a Comment

SUPPORT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email

Contact Form

Name

Email *

Message *

Penafian (Disclaimer)
suficreative.blogspot.my adalah perkongsian mengenai kekeluargaan, kesihatan, pendapat dan pengalaman penulis sahaja. Sebarang info yang berkaitan dengan isu perubatan dan melibatkan undang-undang adalah dibawah tanggungjawab anda sebagai pengguna. Dapatkan nasihat dari pihak bertauliah sebelum mengamalkan sebarang info terutama kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga dan keselamatan.