Thursday, 8 December 2011

Lepas geram guna anak


"Kalau saya lah, usah nak jumpa, nak cakap kat telefon pun saya tak bagi", begitu keras nada suara seorang ibu yang menyatakan ayat larangan jika suami atau bekas suami meminta untuk berhubung dengan anaknya, disebabkan rasa geram dan tidak puas hati pada si bapa yang tidak bertanggungjawab itu, terutama dari segi nafkah kewangan dan sebagainya, ibu akan mula mencari jalan menggunakan apa sahaja cara untuk melepas geram pada suami atau bekas suami yang tidak bertanggungjawab. 

Apabila si bapa mula menunjukkan muka atau cuba menghubungi anak untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu, ibu akan menghalang bapa berhubung dengan anak sebagai tanda protes terhadap si bapa yang telah menyakiti dan mengecewakan dirinya. Malah anak juga tidak dibenarkan menghubungi atau menyebut tentang bapa kerana rasa sakit hati ibu terhadap suami atau bekas suami yang telah mengabaikan keluarga, ibu mungkin berfikir "alahai duit belanja anak pun tak hulur, tak payah lah nak tunjuk baik konon rindukan anak". Ibu berfikir dengan menghalang anak berhubung dengan bapa, mereka telah berjaya mendera perasaan si bapa.

Namun sedarkah ibu, bahawa secara tidak sengaja, perasaan anak yang dihalang dari berhubung dengan bapa juga akan 'terdera' sama seperti apa yang dirasai oleh bapa, malah mungkin akan lebih teruk kerana mereka anak yang masih kecil dan belum mampu berfikir 'apa', 'mengapa' dan 'sebab apa', kawan-kawan lain boleh hidup sebumbung dengan bapa mereka, sedangkan dia tidak? Jiwa anak yang rapuh itu akan patah seperti 'burung' yang sukar terbang, akibat sayap yang patah sebelah. Sama seperti proses pembentukan sahsiah diri anak-anak sedikit sebanyak pasti akan terganggu tanpa disedari anak akan berasa sangat rendah diri dan berasa tersisih di dalam pergaulannya.

" Aku tak sangka setelah 30 tahun aku hidup baru aku tahu yang kawan-kawan disekolah memandang aku sebagai seorang yang pelik, tanpa aku sedari....adakah semua itu berpunca dari kehidupan aku yang dibesarkan dalam suasana keluarga yang berpecah belah? Persoalan ini terfikir oleh seorang anak hasil dari keluarga yang berpecah belah,itupun setelah dia mengimbas masa lalunya di zaman persekolahan apabila bertemu dengan rakan baiknya, yang baru membuka cerita setelah 30 tahun berlalu, betapa malangnya anak ini langsung tidak menyedari bahawa dia dipandang pelik oleh kelompok rakan-rakannya yang lain. 

Ibu yang rasional pasti dapat merasakan kesunyian di hati anak ini, memang pahit melihat anak-anak membesar tanpa bapa disisi, malah sangat perit membesarkan anak tanpa bantuan seorang suami. Walau bagaimanapun ibu yang cuba menafikan wujudnya  'kekurangan' anak ini dengan 'berfikir' bahawa anak-anak pasti akan faham atas sebab apa bapa mereka tidak dapat tinggal bersama, dengan harapan anak akan faham, hakikatnya itu hanyalah tanggapan kosong kerana jiwa anak yang kecil, di mulut kata 'ya'....di dalam hati mereka...terbakar....terpendam sendirian...terseksa dan keliru.

Mana mungkin mereka dapat memahami sepenuhmya, jikapun ya mereka hanya  faham apabila ibu dan bapa mereka tinggal bersama, pergaduhan sering kali akan terjadi. Mereka hanya akan faham, bahawa bapa mereka ada ibu lain dan tidak mahu tinggal bersama mereka lagi. Setinggi manapun usaha ibu untuk menghalang anak dari behubung dengan bapa, tetap tidak akan berjaya keranan ingatan bersama bapa mereka tetap tidak akan hilang di fikiran mereka. Apatah lagi jika si bapa hanya menyakiti hati ibu, tapi melayan baik anak-anak.

Mana mungkin anak dapat merasakan kekecewaan ibu kerana sikap bapa itu, apa yang mereka tahu bapa mereka baik terhadap mereka, menyayangi mereka, cuma tidak dapat tinggal bersama mereka. Mungkin ada ibu yang terus berusaha meracun jiwa anak untuk membenci bapa mereka, supaya dendam dapat terbalas, geram dapat dilepas, namun sedarkah ibu, anak sekecil itu fahamnya dipermukaan sahaja, dasarnya tidak, naluri mereka dicipta 'mengasihi' ibu dan bapa mereka seadilnya, kerana didalam mereka itu ada ibu dan juga bapa.Seburuk manapun bapa mereka, selagi bapanya itu tidak menyakiti fizikal anaknya, anak akan tetap mempertahankan bapa, walau sebenci manapun, mereka pasti terasa jika bapanya dikeji dan dihina, apatah lagi dari mulut ibu sendiri atau orang luar.


Ibu yang bertanggungjawab dan rasional, pasti dapat membezakan anatara emosi sendiri dan emosi anak-anak, jangan dibebani rasa hati atas anak-anak yang masih kecil. Kasihanilah mereka, janganlah lepas geram menggunakan mereka, walaupun bukan mudah memujuk hati, sabar dan tabahlah hingga ke titisan nafas terakhir demi kesejahteraan sahsiah diri anak-anak. Bagi 'si bapa' yang mengabaikan tanggungjawabnya seperti mana 'si' itu sesuai untuk haiwan, seperti itulah juga mereka yang lalai ini. Di dunia mereka memang boleh melepaskan diri, bagaimana di akhirat kelak? Sesungguhnya lelaki itu dicipta untuk menjadi imam di dalam keluarga dan dunia. Beringatlah.







No comments:

Post a Comment

SUPPORT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email

Contact Form

Name

Email *

Message *

Penafian (Disclaimer)
suficreative.blogspot.my adalah perkongsian mengenai kekeluargaan, kesihatan, pendapat dan pengalaman penulis sahaja. Sebarang info yang berkaitan dengan isu perubatan dan melibatkan undang-undang adalah dibawah tanggungjawab anda sebagai pengguna. Dapatkan nasihat dari pihak bertauliah sebelum mengamalkan sebarang info terutama kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga dan keselamatan.