Wednesday, 28 September 2011

Eklampsia

Praeklampsia merupakan satu keadaan yang berlaku ketika hamil yang dicirikan oleh sindrom tekanan darah tinggi akibat atau dicetuskan oleh kehamilan

Ia lazimnya disertai dengan pengeluaran sejumlah besar protein dalam air kencing (proteinuria) dan/atau wujudnya sembab semasa hamil. Keadaan ini sering kali berlaku selepas 20 minggu kehamilan.

Praeklampsia boleh melarat kepada keadaan lebih serius yang dipanggil eklampsia. Eklampsia sebenarnya ialah praeklampsia yang dirumitkan oleh kejadian sawan. Istilah lain bagi praeklampsia ialah toksemia cetusan kehamilan.

American College of Obstetricians & Gynecologists (ACOG 1996) telah mengiktiraf Hipertensi Cetusan-Kehamilan ini sebagai suatu istilah umum yang meliputi kedua-dua praeklampsia dan eklampsia.

Apakah yang dikatakan tekanan darah tinggi semasa hamil?

Tekanan darah tinggi ketika hamil ditakrifkan sebagai:
Tekanan darah sistolik yang melebihi atau sama dengan 140 mmHg atau peningkatan tekanan darah sebanyak 30 mmHg dari garis dasar dalam separuh masa pertama kehamilan, atau Tekanan darah diastolik melebihi atau sama dengan 90 mmHg atau peningkatan tekanan darah melebihi 15 mmHg dari garis dasar dalam separuh masa pertama kehamilan.

Apakah itu kehamilan dengan komplikasi akibat tekanan darah tinggi yang kronik?

Kehamilan dari komplikasi tekanan darah tinggi yang kronik berbeza dari praeklampsia. Ia berlaku apabila ibu-ibu menghidap tekanan darah tinggi sebelum hamil atau ia wujud sebelum usia kandungan mencapai 20 minggu atau tekanan darah itu wujud berterusan selepas kelahiran. Pada masa yang sama, ibu-ibu ini mungkin mengalami masalah praeklampsia, tetapi kerap kali ianya adalah sederhana sahaja dan mereka melalui tempoh kehamilan dengan baik tanpa komplikasi.

Tekanan darah tinggi yang kronik dianggap serius jika tekanan darah sistolik melebihi 160 mmHg atau tekanan diastolik melebihi 110 mmHg.

Praeklampsia bertindih ditakrifkan sebagai kewujudan tekanan darah tinggi yang diburukkan lagi dengan kehadiran Proteinuria dan/atau sembab (pembengkakan tisu) yang tidak timbul sebelum ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan proteinuria?

Proteinuria bermaksud kehadiran protein dalam air kencing. Dalam keadaan normal, protein selalunya tidak dikesan dalam air kencing. Lazimnya, proteinuria ditakrifkan sebagai kehadiran protein melebihi 300 mg dalam spesimen air kencing yang diambil dalam masa 24 jam atau lebih dari 1+ protein pada kepingan ujian sampel rawak air kencing.

Sembab ditakrifkan sebagai pengumpulan cecair yang berlebihan dalam tisu tubuh. Ia dianggap patologik hanya jika ia berlaku di merata tempat melibatkan tangan, muka dan kaki.

NOTA:
Jika anda menghidapi tekanan darah tinggi, ia tidak bermakna anda juga mengalami praeklampsia. Doktor anda akan memeriksa tanda-tanda dan gejala lain yang berkaitan, seperti kehadiran protein dalam air kencing dan sembab. Bengkak di pergelangan tangan dan jari adalah perkara biasa semasa hamil dan boleh berlaku tanpa tekanan darah tinggi.

Praeklampsia selalunya terjadi di pertengahan kedua kehamilan (selepas 20 minggu). Kadangkala ianya terjadi sebaik sahaja bersalin atau sebelum 20 minggu kehamilan (jarang berlaku). Terdapat dua bentuk praeklampsia iaitu ringan dan teruk (bergantung pada tahap proteinuria atau tekanan darah tinggi dan juga sama ada ia melibatkan sistem organ yang lain).

Eklampsia dan praeklampsia berkait di antara satu sama lain. Eklampsia sebenarnya ialah komplikasi terakhir praeklampsia yang kemudiannya diikuti dengan sawan atau koma .

Ciri-ciri bagi praeklampsia yang kurang serius (apabila dibandingkan dengan nilai-nilai yang tersebut di atas) ialah:
• Tekanan darah sistolik meningkat sebanyak 30 mmHg (dari garis dasar dalam separuh masa pertama kehamilan)
• Tekanan darah diastolik meningkat sebanyak 15 mmHg (dari garis dasar dalam separuh masa pertama kehamilan)
• Proteinuria yang minimum iaitu melebihi 300 mg/hari dalam spesimen air kencing 24 jam atau melebihi 1+ dalam spesimen air kencing rawak
• Sembab yang ringan (pembengkakan)

Ciri-ciri bagi praeklampsia yang teruk ialah :

• Tekanan darah sistolik melebihi 160 mmHg
• Tekanan darah diastolik melebihi 110 mmHg
• Proteinuria melebihi 2 gm/hari dalam spesimen air kencing 24 jam atau melebihi 3+ dalam spesimen air kencing rawak
• Sembab yang teruk
• Wujudnya bukti-bukti yang menunjukkan kerosakan organ (iaitu komplikasi praeklampsia telah melarat ke pelbagai organ) seperti sembab paru-paru (pulmonary oedema), sakit kepala (organ otak), perubahan pada penglihatan (organ mata) dan peningkatan enzim hati.

Asas Saintifik

Pada asasnya, praeklampsia akan menyebabkan lapisan endotelium menjadi rosak (lapisan yang melapiki saluran darah) dan saluran darah baru yang abnormal terbentuk dalam uri.

Beberapa faktor mungkin menyumbang kepada kemunculan (patogenesis) penyakit ini.
Ia termasuklah:

• Faktor-faktor imunogenetik Kekerapan berlakunya praeklampsia meningkat pada ibu, anak perempuan dan cucu perempuan wanita yang mempunyai sejarah eklampsia.
• Kecederaan lapisan endotelium dan kereaktifan vaskular (berkait dengan salur darah) meningkat. Salur darah menjadi semakin sensitif terhadap hormon tertentu dan arteriol secara umumnya mengecut (salur darah arteriol ialah cabangan kecil salur darah arteri yang menyalurkan darah ke organ tubuh)
• Keabnormalan pembekuan darah. Koagulapati (darah tidak dapat ditukarkan dari bentuk cecair ke pepejal) mungkin merupakan salah satu ciri utama praeklampsia.
• Peroksida lipid dan radikal bebas oksigen. Penghasilan radikal bebas oksigen yang menyebabkan berlakunya peroksida lipid (lemak) dalam plasma mungkin membawa kepada kerosakan lapisan endotelium.
• Tindak balas imunologi terhadap uri Berkurangnya pengaliran darah dari ibu ke uri menyebabkan penyebaran faktor-faktor tertentu ke dalam peredaran darah ibu. Ini menyebabkan berlakunya praeklampsia.

Penyebab

Walaupun minat dan penyelidikan yang dijalankan dalam bidang ini meluas dan mendalam, punca-punca berlakunya praeklampsia masih belum dikenal pasti. Faktor - faktor risiko

Senarai yang berikut ialah faktor-faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada pembentukan praeklampsia:
• Kehamilan pertama (primigravida). Praeklampsia lazimnya terjadi ketika kehamilan pertama
• Sejarah keluarga yang menghidap praeklampsia atau eklampsia Jika ibu atau kakak anda pernah menghidap praeklampsia atau eklampsia semasa hamil, anda juga berisiko tinggi mengalami praeklampsia apabila hamil.
• Pernah mengalami praeklampsia atau eklampsia pada kehamilan terdahulu
• Pasangan (kebapaan) yang baru. Kadar praeklampsia meningkat bagi kehamilan hasil dari hubungan dengan pasangan yang baru atau melalui permanian beradas.
• Ibu yang terlalu muda atau telah berumur (< 20 atau > 35 tahun) Di Malaysia, sebanyak 52.2% daripada ibu-ibu yang mengalami praeklampsia adalah mereka yang berumur 35-44 tahun (data tahun 1977).
• Anda telah menghidap tekanan darah tinggi, penyakit ginjal atau autoimun.
• Diabetes melitus Saluran darah yang luar biasa pada ibu-ibu hamil yang menghidap diabetes boleh menyebabkan terjadinya tekanan darah tinggi di akhir kehamilan. Semakin lama anda menghidap diabetes, semakin tinggi risiko untuk mendapat tekanan darah tinggi.
• Kehamilan kembar. Kekerapan mendapat tekanan darah tinggi meningkat sebanyak 2 hingga 5 kali ganda pada ibu-ibu yang hamil kembar dua. Ini akan merumitkan kehamilan mereka.

Penyaringan
Cara yang terbaik untuk mengesan praeklampsia ialah melalui pemeriksaan yang berkala semasa mengandung.

Tekanan darah anda akan diperiksa pada setiap kali anda membuat lawatan bagi memastikan tidak ada apa-apa keabnormalan yang wujud. Ujian air kencing akan dibuat untuk memeriksa kandungan protein di dalamnya. Ujian darah juga dilakukan bagi mengesan sebarang kerosakan pada organ. Jika terdapatnya bukti wujudnya praeklampsia, tekanan darah, protein dalam air kencing dan sembab akan diperiksa seminggu sekali atau mungkin lebih kerap. Ini adalah perlu untuk memastikan keadaan praeklampsia itu dipantau dengan rapi dan sebarang komplikasi yang berlaku akan dapat dirawat lebih awal.

Insidens
Praeklampsia berlaku di kalangan lebih kurang 5 - 10% daripada keseluruhan ibu hamil. Di kebanyakan tempat serata dunia, penyakit tekanan darah tinggi ketika hamil menjadi punca biasa kematian ibu. Di Malaysia, ia merupakan punca kedua kematian ibu-ibu selepas pendarahan postpartum. Pendarahan postpartum ialah pendarahan dari saluran pembiakan yang berlaku selepas kelahiran. Ia boleh menyebabkan hipotensi (tekanan darah rendah) atau renjatan.

Di Malaysia, kejadian tekanan darah tinggi ketika hamil telah meningkat dari 48.7 bagi setiap 10,000 lahir hidup dalam tahun 1985 kepada 232.8 setiap 10,000 lahir hidup dalam tahun 1997. Kebanyakan kes melibatkan orang Melayu, merangkumi lebih kurang 69.6% daripada keseluruhan kes tekanan darah tinggi ketika mengandung. Walau bagaimanapun, kejadian eklampsia adalah lebih tinggi dalam kumpulan umur lebih muda dan kecenderungan untuk berlakunya eklampsia adalah paling tinggi bagi ibu-ibu yang pertama kali hamil.

Teks lengkap : infosihat.gov.my

No comments:

Post a Comment

SUPPORT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email

Contact Form

Name

Email *

Message *

Penafian (Disclaimer)
suficreative.blogspot.my adalah perkongsian mengenai kekeluargaan, kesihatan, pendapat dan pengalaman penulis sahaja. Sebarang info yang berkaitan dengan isu perubatan dan melibatkan undang-undang adalah dibawah tanggungjawab anda sebagai pengguna. Dapatkan nasihat dari pihak bertauliah sebelum mengamalkan sebarang info terutama kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga dan keselamatan.